MAJLIS PERTUKARAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA UKM SPECIALIST CENTRE (UKMSC) DAN PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)
Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara UKM Specialist Centre (UKMSC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Cheras, pagi tadi.
Majlis ini disaksikan oleh YBhg. Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, bersama Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi, Pemangku Presiden FAM dan Prof. Madya Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham Md Yusoff, Pengarah Perubatan UKMSC.
Melalui MoU ini, UKMSC dan FAM komited memperkukuh kualiti penjagaan kesihatan untuk pemain bola sepak Malaysia. Usaha ini merangkumi penilaian risiko kecederaan, pembangunan protokol kecemasan, serta pengukuhan pemahaman mengenai kecederaan kardiovaskular, trauma neurologi dan kecederaan muskuloskeletal dalam kalangan pemain.
Menurut Prof. Madya Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham Md Yusoff, “Sebagai pusat perubatan akademik, UKMSC sentiasa bersedia menerajui rawatan berasaskan teknologi dan inovasi terkini”. Hal ini selaras dalam memastikan pemain bola sepak Malaysia mendapat akses kepada rawatan yang setanding dengan piawaian antarabangsa. Tambahan pula, UKMSC komited untuk menyokong pemain negara bukan sahaja ketika mereka cedera, tetapi juga dalam pencegahan, pemulihan dan pembangunan prestasi jangka panjang. “Kami amat menyayangi dan menghargai atlet negara; oleh itu sokongan kami adalah menyeluruh dan berterusan,” tambah beliau.
Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi turut berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan standard kesihatan pemain negara, dan beliau menegaskan bahawa UKMSC memiliki kepakaran serta fasiliti lengkap untuk memastikan keselamatan dan prestasi atlet sentiasa diberi perhatian penuh. FAM turut menghargai komitmen UKMSC dalam menyediakan rawatan, pendidikan dan latihan yang lebih tersusun bagi memperkukuh ekosistem perubatan sukan di Malaysia.
MoU ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan kolaborasi jangka panjang antara UKM dan FAM, yang bermula dengan pengenalan Pitch Side Care in Football (PSCiF) Level 1 Certification sebagai pensijilan nasional bagi memperkukuh kecekapan pegawai pasukan, jurulatih dan tenaga perubatan dalam pengendalian kecemasan di padang.
Sebagai langkah awal kerjasama, Simposium Perubatan Bola Sepak & PSCiF Level 1 telah dianjurkan bagi melahirkan tenaga kerja terlatih, meningkatkan kesedaran terhadap kecederaan sukan serta memantapkan tahap kesiapsiagaan perubatan dalam perlawanan bola sepak di seluruh negara. Inisiatif ini membentuk rangka kerja latihan perubatan yang tersusun dan berstandard, sekali gus mencerminkan komitmen bersama UKMSC dan FAM dalam mewujudkan sistem tindak balas kecemasan yang lebih cekap, selamat dan konsisten.
FAM menyambut baik kerjasama ini sebagai langkah penting dalam memastikan keselamatan atlet diberi keutamaan, dengan potensi untuk diperluaskan ke sukan lain pada masa hadapan selaras dengan keperluan meningkatkan keselamatan atlet secara menyeluruh di peringkat nasional.
Dengan termeterainya kerjasama ini, UKMSC bersedia memainkan peranan sebagai pusat rujukan perubatan sukan bagi negara, menyokong aspirasi pembangunan bola sepak Malaysia melalui rawatan klinikal bertaraf antarabangsa, protokol keselamatan moden dan inovasi berasaskan penyelidikan.
* Siaran media ini dikeluarkan pada Ahad, 14 Disember 2025
