SIARAN MEDIA: PERKEMBANGAN SEMASA PENGADIL FAM & HAL-HAL BERKAITAN KEPENGADILAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2024
2024-09-30
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menekankan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sehubungan itu, pelaksanaan program pembangunan pengadil dan operasi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia adalah berasaskan kepada standard operasi serta protokol VAR yang diiktiraf oleh FIFA.
Final Piala FA 2024-2025 di antara pasukan Johor Darul Ta'zim bertemu Selangor FC yang mana pengadil perlawanan tersebut, Muhammad Nazmi Nasaruddin telah menunjukkan satu prestasi yang cukup cemerlang pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Ogos 2024.
Selain itu, Nazmi juga telah mengadili perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara pasukan DPR Korea bertemu Qatar di Vientiane, Laos pada 10 September lalu.
Seterusnya pada 10 Oktober ini, Nazmi juga diamanahkan untuk mengadili perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara pasukan Australia bertemu China di Adelaide.
Baru-baru ini, Nazmi telah dijemput oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mengadili perlawanan BRI Liga 1 Indonesia di antara pasukan Persib Bandung bertemu Persija Jakarta di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 23 September lalu.
Media-media Indonesia telah memuji cara pengendalian perlawanan oleh Nazmi yang mana rata-rata menyebut bahawa beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang serta memiliki satu personaliti yang tegas dan adil. Ia merupakan satu kebangaan kepada FAM dan seluruh rakyat Malaysia.
Selain Nazmi, AFC juga telah melantik Razlan Joffri Ali dan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah untuk mengadili perlawanan-perlawanan AFC Champions League Two (ACL2) and juga Piala Shopee (Kejuaraan Kelab ASEAN).
Sementara itu, berhubung perlawanan-perlawanan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan ‘Challenge Cup’ yang menggunakan Sistem Teknologi VAR, setakat ini sebanyak 80 perlawanan bagi musim 2024-2025 ini telah menggunakan Teknologi VAR.
Pengendalian VAR serta prestasi pengadil adalah sangat cemerlang. Purata ‘On-field Review’ (OFR) adalah 0.57 ‘per match’. Jumlah masa tambahan yang diguna untuk ‘VAR Review’ adalah 2.27m 'per match'.
Mengikut garis panduan AFC, bilangan OFR dan masa tambahan ‘VAR Review’ di liga kita berada pada paras terendah. Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik sepertimana standard operasi VAR yang ditetapkan oleh FIFA.
FAM dan MFL juga akan memulakan latihan VAR ‘Batch ke-2’ bermula Oktober 2024 dan dijangka akan tamat pada Februari 2025. Barisan pengadil VAR fasa ke-2 ini adalah terdiri daripada pengadil dan penolong pengadil yang muda dan berpotensi.
Seramai 21 Pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 Penolong Pengadil sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR) dan 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO).
Pada kali ini seramai tiga pengadil wanita akan turut dipanggil menyertai latihan ini. Cik Nurul Ain Izzatty Binti Zainal sebagai Pengadil VAR, Cik Nur Akmal Binti Anuar dan Cik Munirah Ha Ali sebagai pengadil AVAR. Ketiga-tiga mereka ini diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’.
Sebagai rumusan, pembangunan dan kemajuan pengadil bola sepak di negara perlu dilaksanakan secara bersama agar mutu pengadil dan bola sepak negara dapat berjalan dengan lancar.
FAM akan sentiasa meneruskan langkah-langkah memperkasa mutu dan martabat pengadil-pengadil bola sepak.
FAM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk ahli-ahli gabungan dan Persatuan Bolasepak Negeri yang membantu bersama memaju dan menjalankan program-program pembangunan pengadil di peringkat negeri.
Dato' S. Sivasundaram
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM
* Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 30 September 2024